Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan rentak kecemerlangan dalam Kejohanan Terbuka China 2023 apabila mempamerkan aksi bertenaga untuk mara ke final.

Lebih menarik lawan yang mereka tumpaskan sebentar tadi ialah juara dunia baharu dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae menerusi kemenangan ‘straight set’.

Ia sekali gus melunaskan dendam Aaron-Wooi Yik yang tewas ke atas lawan sama di separuh akhir Kejohanan Dunia tempoh hari.

Seperti dijangka aksi menarik ditampilkan oleh kedua-dua pasangan dengan corak permainan pantas serta menghiburkan.

Mendahului lawan 11-10 ketika rehat ‘interval’, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengambil kesempatan tersebut untuk menjarakkan mata dengan lebih selesa.

Meskipun lawan cuba untuk merapatkan mata dengan tekanan diberikan, pasangan negara itu kental bertahan untuk menang set pertama 21-18.

Set kedua turut memperlihatkan skrip yang sama tetapi gandingan nombor satu negara itu mengesahkan kemaraan ke final dengan kemenangan 21-17.

Menanti mereka di pentas final esok ialah pasangan tuan rumah, Liang Wei Keng-Wang Chang yang menewaskan bekas juara dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Sementara itu dua lagi wakil negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing gagal untuk mengiringi kemaraan Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Tang Jie-Ee Wei tewas kepada gandingan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue manakala Kian Meng-Pei Jing tunduk ditangan Seo Seung Jae-Chae Yu Jung.